PRM SOKONG PERHIMPUNAN MANSUH ISA 1 OGOS
Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam mesyuaratnya pada 26 hb Julai yang lalu telah mengambil keputusan menyokong Perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos di kuala Lumpur. PRM dengan tegas menyatakan bahawa Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menahan seseorang tanpa bicara itu perlu dimansuhkan sekarang. Telah 50 tahun ia disalahgunakan untuk tujuan mempertahankan regim pemerintahan Perikatan (dulu) dan Barisan Nasional (sekarang). Telah begitu ramai rakyat terutama pemimpin-pemimpin politik dan NGO, aktivis masyarakat, wartawan, individu-individu yang tidak bersalah teranianya terpenjara di bawah ISA yang zalim itu.
PRM menyokong kuat tuntutan supaya semua tahanan ISA yang sedang ditahan sekarang dibebaskan. Mereka berhak untuk dituduh di mahkamah terbuka dan membela diri di mahkamah terbuka. Perbuatan memenjarakan mereka tanpa bicara di bawah ISA adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia. Sebagai sebuah negara dan bangsa yang mahu maju ke depan Malaysia dan rakyatnya berhak untuk dipandang mulia di mata masyarakat antarabangsa. Satu dari apa yang patut dilakukan oleh pemerintah BN sekarang ialah memansuhkan Akta ISA itu tanpa berlengah lagi.
PRM selanjutnya menyeru semua ahli-ahli dan penyokongnya supaya beramai-ramai menyertai perhimpunan aman pada 1 Ogos ini bagi tujuan menuntut ISA dimansuhkan, tahanan-tahanan ISA di bebaskan dan Penjara Kamunting ditutup. Telah beribu petisyen, beratus memorandum dan berpuluh usul dikemukakan oleh rakyat di luar dan di dalam parlimen agar Kerajaan BN memansuhkan ISA tetapi semua suara dan tuntutan itu tidak dipedulikan. Jadi adalah hak rakyat untuk berhimpun pada 1 Ogos di Kuala Lumpur untuk melaungkan dengan suara lebih kuat bahawa ISA yang telah berumur setengah abad itu sudah usang, lapuk, menindas, zalim dan perlu dimansuhkan.
Hassan Karim
Presiden PRM
27hb. Julai 2009
No comments:
Post a Comment