Monday, July 20, 2009


Kenyataan Media - 17/7/2009


Permohonan Dr. Syed Husin Ali dan 8 lagi Pertimbang

bubarkan PRM Ditolak dengan Kos

Pada 16 Julai 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas 1, Yang Arif Puan Low Bee Lan telah menolak dengan kos permohonan Dr. Syed Husin Ali dan 8 lagi supaya dibatalkan perakuan pendaftaran nama pertubuhan : Parti Rakyat Malaysia (PRM). Tulisan Kehakiman akan dikemukakan. Walau bagaimanapun pemohon-pemohon boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Keputusan tersebut di atas dibuat setelah peguam-peguam yang mewakili pemohon dan responden memberikan hujah untuk kali terakhir dalam kamar petang ini dari pukul 3.30 petang ke 5.50 petang.

Peguam pemohon ialah Cik Ranuka a/p Balasubramaniam, manakala responden pertama dan kedua diwakili Peguam Persekutuan Encik Norhisham bin Ismail, dan responden ketiga hingga ke-12 (pencelah) diwakili oleh Encik G.K. Ganesan (lead council), Encik K. Palaniandy dan Encik Hassan Abd. Karim.

Hassan karim selaku presiden PRM menyatakan selepas selesainya perbicaraan bahawa permohonan bekas pemimpin PRM yang telah menyertai Parti Keadilan Rakyat untuk membatalkan pendaftaran PRM ditolak dengan sebab-sebab berikut.

Pertama, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) telah membuat keputusan “tidak dapat diberi pertimbangan” terhadap permohohan pemohon untuk membubarkan PRM dalam surat jawapan kepada Dr Sanusi Osman bertarikh 11 Mei 2005.

Kedua, sebabnya pertimbangan membubarkan PRM tidak dapat diberi ialah undang-undang berdaftar iaitu Perlembagaan Parti Rakyat Malaysia (PRM) tidak mempunyai peruntukan membubarkan parti. Dalam keadaan ini, Peruntukan 9(h) Akta Pertubuhan 1966 hendaklah dipakai jika PRM hendak dibubarkan. Peruntukan 9(h) menyatakan supaya satu mesyuarat khas ahli-ahli PRM diadakan dan usul pembubaran PRM mesti hendak dilulus oleh sekurang-kurangnya 60 % daripada semua ahli PRM. Bekas kepemimpinan PRM tidak mengadakan mesyuarat khas ahli ini.

Ketiga, sekiranya pemohon-pemohon tidak berpuas hati dengan mana-mana keputusan ROS, mereka hendak terlebih dahulu mengikuti Peruntukan 18 Akta Pertubuhan 1966 dalam tempoh satu bulan membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri setelah ROS menolak permohonan untuk membubarkan PRM, tetapi mereka tidak berbuat demikian.

Keempat, pemohon-pemohon tidak ada locus standi kerana mereka telah meninggalkan parti menyertai PKR. Semasa membuat permohonan semakan kehakiman ini, pemohon bukan ahli-ahli PRM lagi.

21B(F) Jalan SJ 6 Taman Selayang Jaya 68100 Batu Caves Selangor Malaysia

Oleh sebab itu, pemohon-pemohon belum menghabiskan remedy yang diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan 1966 semasa memohon semakan kehakiman di mahkamah supaya pendaftaran PRM dibatalkan kononnya PRM dan Parti Keadilan Nasional telah bercantum dan sebuah parti baru yang bernama PKR terlahir.

Pada 9 Januari 2006, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas 1, mendiang Yang Arif Datuk Ganga Dharan telah memberi satu perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia supaya menimbang dan membuat satu keputusan berdasarkan undang-undang yang sedia ada terhadap permohonan pemohon-pemohon melalui Borang 6 bertarikh 14hb April 2005 untuk membubarkan pendaftaran Parti Rakyat Malaysia. Afidavit permohonan Dr Sanusi bin Osman dan 8 lagi untuk semakan kehakiman ini diikrarkan pada 26 September 2005.

Oleh sebab semakan kehakiman tersebut melibatkan kepentingan dan hak kebebasan berorganisasi ahli-ahli PRM, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil yang sama telah meluluskan permohonan 10 orang ahli PRM untuk mencelah dalam proses semakan kehakiman ini pada 9 Januari 2007.

Pemohon untuk semakan kehakiman ialah Dr. Syed Husin Ali, bekas Presiden PRM kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Sanusi bin Osman, bekas Setiausaha Agung PRM and pernah menyandang Ahli Majlis Parti Tertinggi (MPT), Sivarasa Rasiah bekas Naib Presiden PRM dan kini Naib Presiden PKR merangkap ahli Parlimen Subang, Lam Yong Pang @Lim Yoon Pang bekas ahli Jawatankuasa Pusat (AJKP) PRM, Ban Ah Kam pernah dilantik ahli MPT PKR, Tai Kim Tat bekas AJKP PRM, Latheefa Beebi Koya bekas AJKP PRM dan kini ahli MBPJ merangkap Ketua Penerangan PKR, Faizal bin Sanusi bekas ketua Angkatan Muda PRM dan Angkatan Muda PKR, dan Parti Rakyat Malaysia.

Pencelah ialah ahli-ahli PRM Koh Swe Yong, Zulkarnain bin Abdullah, M. Shariff bin Attan, Saleh bin Sikun, Mohd Salleh bin Haji Ahmad, Abd Jalil bin Ahmad, Ahmad Aidit bin Abdullah, Tan Cheng Hong, Chin Kooi Chong, dan Wong Hoy Chow.


Koh Swe Yong
Setiausaha Agung, PRM

(H/P: 012-2766551)

No comments: