ISA PERLU DITENTANG DI DALAM PARLIMEN DAN DI JALANRAYA
Ada seorang bekas menteri kabinet berkata, bahawa sekarang telah ramai ahli pembangkang di Parlimen Malaysia, jadi tidak kenalah ahli-ahli parlimen pembangkang menentang ISA di jalanraya. Pendapat bekas menteri kabinet itu boleh dibahaskan di sini.
Penulis berhujah bahawa mereka yang mahukan perubahan supaya ISA dimansuhkan telah kecewa dengan parlimen yang ada sekarang.
Walaupun kerajaan BN tidak mempunyai kuasa majoriti 2/3 di parlimen sekarang, tetapi dengan majoriti nipis yang ada BN tetap mahu bergayut berkuasa dengan mengekalkan ISA. BN buat-buat pekak terhadap jeritan rakyat yang mahu supaya ISA dimanushkan dalam bahasa yang halus atau dihapuskan dalam bahasa yang kesat.
Sesetengah undang-undang perlu dipinda kerana telah usang dan tidak sesuai dengan perubahan masa.
Sesetengah undang-undang yang lain perlu dipinda atau ditamatkan kerana tidak adil. Tetapi ISA lain dari undang-undang itu semua kerana ISA memiliki sifat-sifat yang mewajarkannya dimansuhkan kerana ia bukan sahaja telah usang, tidak sesuai dengan zaman, tidak adil tetapi ISA itu zalim sifatnya. Seorang remaja yang turut menyertai perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos lalu kerana ayahnya telah 7 tahun ditahan di bawah ISA tanpa bicara, sampai sekarang ayah remaja itu masih merengkok di penjara Kamunting.
Sesetengah undang-undang yang lain perlu dipinda atau ditamatkan kerana tidak adil. Tetapi ISA lain dari undang-undang itu semua kerana ISA memiliki sifat-sifat yang mewajarkannya dimansuhkan kerana ia bukan sahaja telah usang, tidak sesuai dengan zaman, tidak adil tetapi ISA itu zalim sifatnya. Seorang remaja yang turut menyertai perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos lalu kerana ayahnya telah 7 tahun ditahan di bawah ISA tanpa bicara, sampai sekarang ayah remaja itu masih merengkok di penjara Kamunting.
Seorang pembunuh, seorang perogol, seorang penyamun semuanya mendapat peluang dibicarakan di mahkamah terbuka. Mereka boleh melantik peguam untuk membela kes mereka. Tetapi hak pembelaan itu tidak ada pada tahanan ISA. Inilah yang kita katakan zalim. Kalau tidak zalim, apa namanya menahan seseorang tanpa bicara?
Mengapa mesti berarak di jalanraya? tanya sesetengah orang. Lihat tentang hak-hak sivil dan asasi rakyat kulit hitam di Amerika Syarikat. Sehingga pejuang hak asasi Dr Martin Luther King Jr memimpin ratusan ribu orang di jalanraya Amerika barulah Kongres Amerika Syarikat tunduk kepada kehendak ramai supaya hak-hak kebebasan dan sivil orang kulit hitam diiktiraf di negara tersebut.
Undang-undang Apartheid yang diluluskan oleh parlimen kerajaan rasis kulit putih di Afrika Selatan adalah sah bagi rejim rasis tersebut walaupun satu dunia mengutuknya sebagai zalim dan tidak sah. Pendukung dasar apartheid berhujah bahawa undang-undang mereka sah kerana digubal oleh parlimen mereka. Tetapi bagaimana kerajaan apartheid dan undang-undang apartheid itu dikalahkan? jawapannya ialah dengan rakyat Afrika Selatan melawan rejim rasis apartheid itu di jalan-jalanraya. Masih ingatkan Steve Biko yang mati kerana bersuara menjatuhkan rejim apartheid dan Nelson Mandela yang 25 tahun merengkok dalam penjara dan kini masih hidup berjuang melawan undang-undang yang rasis, zalim dan tidak adil itu. Sebahagian besar medan perjuangan mereka ialah di atas jalan-jalanraya.
Apabila parlimen gagal kerana Speakernya dan ahli MP nya sibuk menjamu selera masing-masing dengaan durian dan Speaker parlimen bertindak macam guru besar sekolah rendah, apa yang boleh kita harapkan dari parlimen Malaysia untuk meruntuhkan akta seperti ISA itu?
Jangan berarak di jalanraya, tuntutlah cara yang betul, kata sesetengah orang pula. Lihatlah dulu semasa penjajah British pada tahun 1946 mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahannya secara langsung di bawah undang-undang Malaysan Union. Tidakkan rakyat khususnya orang-orang Melayu dalam Umno atau di luar Umno berarak menentang undang-undang yang tidak adil yang hendak dipaksakan British ke atas negeri-negeri Melayu dan raja-raja Melayu waktu itu.
Jadi lihatlah sejarah. Bahawa ada ketikanya rakyat perlu bersuara dan berhimpun atau berarak di jalan-jalanraya untuk menuntut perubahan. Ini adalah sebahagian daripada ciri masyrakat sivil yang mengiktiraf hak rakyat untuk bersuara.
Penulis sendiri secara peribadi hadir dalam perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos lalu. Penulis mengikuti dari awal bahawa perhimpunan ini aman dan bertujuan untuk menyampaikan secara simbolik memorandum kepada Yang di Pertuan Agong selaku ketua negara. Jadi kenapa perlu menggunakan kekerasan polis untuk mematahkan hasrat sebahagian besar rakyat yang mahukan ISA dimansuhkan.Kami yang hadir pada 1 Ogos dalam perhimpunan itu kerana sedar perhimpunan itu bertujuan baik dan mahu dilakukan secara aman dan tertib, beradab dan amat menyedari hak kami di bawah Perlembagaan Negara bahawa rakyat punya hak untuk berhimpun dan menyatakan pendapat.
Telah hampir 50 tahun umur ISA berada dalam buku undang-undang Malaysia. Beribu-ribu orang telah menjadi mangsa. Tetapi sampai hari ini rakyat tidak boleh terima kehadiran ISA. Tidak pernah perhimpunan membantah ISA sebesar Sabtu 1 Ogos 2009 yang lalu. Ini menunjukkan gelombang mahukan supaya Akta ISA itu dimansuhkan semakin kuat. Jika tidak ada ugutan dan sekatan jalanraya serta ancaman tangkapan dan sebagainya penulis percaya bukan setakat 100,000 orang tetapi mungkin lebih dari itu yang akan hadir di ibukota Kuala Lumpur untuk mengkebumikan ISA.
Kesimpulannya penulis percaya ISA perlu ditentang di semua forum yang ada, terbuka atau tertutup, di parlimen ataupun di jalan-jalanraya sehingga ISA itu lenyap dari bumi merdeka Malaysia yang rakyatnya kini faham apa ertinya kebebasan, kemerdekaan dan keadilan.
Hassan Karim
Johor Bahru
6hb Ogos 2009
No comments:
Post a Comment