Thursday, March 12, 2009

PRM Perak : Bubar DUN Perak

Bubar DUN Perak


Ahli Jawatankuasa Pusat (AJKP) dan Ketua Badan Penyelaras Negeri Perak Parti Rakyat Malaysia (PRM) Karim Derun berpendapat bahawa jalan yang paling baik dan terhormat bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri Perak ialah membubarkan DUN Perak dan mengadakan pilihanraya negeri membiarkan rakyat Perak menentukan nasib mereka.


Jika DUN Perak tidak dibubarkan dan kemelut politik Perak berlarutan, sudah pasti banyak tenaga dan sumber disedut dan diperlukan untuk atas-mengatasi sesama lawan.


Dalam proses ini, demokrasi di negara ini bukan saja terus dicacatkan, bahkan akan menghindar daya usaha kerajaan sama ada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi dan menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku dan yang paling serius sejak selepas Perang Dunia Kedua .


Akhirnya rakyat Negara ini akan menjadi mangsa dan korban taktik politik BN yang terang-terang tidak segan silunya mengetepikan peraturan yang sedia ada semata-mata untuk meragut kuasa perintah negeri Perak daripada PR, kehidupan rakyat tidak akan cerah.


Selain itu, PRM Perak telah juga membuat keputusan tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Bukit Gantang, sebaliknya akan memberikan sokongan bulat kepada mana-mana calon pembangkang yang bakal bertanding.


PRM Perak percaya apabila semua pembangkang menggembleng tenaga, percaturan dan program politik BN yang tidak demokratik dan hanya menjaga kepentingan segelintir suku-sakat mereka yang berkuasa dapat dibendung dan ditolak.



Karim Derun

AJKP dan Ketua Negeri Perak PRM

013-3517861