Saturday, February 2, 2008

Selatan: PRM putus bertanding atas tiket sendiri



Selatan: PRM putus bertanding atas tiket sendiri

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Umum Ke-12 akan menyaksikan kemunculan semula logo kepala seladang yang menjadi kebanggaan Parti Rakyat Malaysia (PRM) apabila parti yang diasaskan pejuang kemerdekaan itu mengambil keputusan untuk bertanding dalam sekurang-kurangnya lima kerusi atas tiket PRM.


Presidennya, Hassan Karim, berkata PRM tidak akan lagi meletakkan calon yang bertanding menentang Barisan Nasional menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum 2004 dan yakin logo seladang itu akan membawa kemenangan.

Katanya, meskipun ahli berdaftar PRM hanya sekitar 30,000 di seluruh negara dengan beberapa cabang cawangan, termasuk di Melaka, Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Perak dan Kedah, PRM masih menerima penghormatan daripada parti pembangkang lain.


"PRM tahu, kami belum mampu membentuk kerajaan tetapi dengan kemenangan calon di setiap kerusi yang ditandingi akan memberi keseimbangan dalam pergerakan perlembagaan kerajaan Malaysia.

"Kami adalah parti pembangkang yang bertanggungjawab dan memberi kritikan membina kepada kerajaan bagi memastikan pengurusan kerajaan berjalan dengan adil dan betul," katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Katanya, PRM sudah bersiap sedia dengan jentera penggerak pilihan raya dan senarai calon akan diumumkan sehari sebelum hari penamaan calon.

Beliau berkata, PRM sudah cukup dikenali di selatan tanah air terutama di bandar raya ini menerusi logo seladang dan rakyat Johor tidak prejudis terhadap parti itu.

"Kita akan menerangkan kepada rakyat menerusi manifesto PRM bahawa perjuangan yang kami bawa tertera jelas dalam logo seladang itu.

“Seladang adalah binatang yang tidak boleh dicucuk hidungnya, mereka bergerak dalam kumpulan secara bekerjasama dan tabiat seladang jantan ialah berkawal ketika seladang betina dan anaknya tidur.

"Begitu juga perjuangan kami dan PRM berjuang berasaskan keperluan rakyat tempatan, apatah lagi seladang hanya ada di negara nusantara iaitu Malaysia dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata, antara kerusi yang mungkin ditandingi PRM adalah Parlimen Selayang dan Johor Bahru serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas Jaya, Johor Jaya dan Stulang.

No comments: