Sunday, February 24, 2008

Khaled ditentang peniaga gerai makanan



Khaled ditentang peniaga gerai makanan

JOHOR BAHRU 24 Feb. - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, 50, ditentang oleh seorang peniaga gerai makanan, Md. Rizan Mohd. Saman, 58, di kerusi Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi itu manakala Md. Rizan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diumumkan sebagai calon selepas tiada bantahan terhadap kertas pencalonan mereka.

Selain itu, calon BN, Tan Chek Puk, 47, ditentang oleh calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang juga peniaga, Md. Nasir Wahab, 51, bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

Seorang lagi calon BN, M. Munusamy, 59, dicabar oleh seorang usahawan, Syed Othman Abdullah, 39, daripada Pas untuk kerusi DUN Permas.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan itu, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, Khaled adalah calon pertama menyerahkan kertas penamaan pada pukul 9.02 pagi, diikuti Md. Rizan kira-kira 10 minit kemudian.

"Selepas proses penerimaan kertas penamaan calon tamat pukul 10 pagi dan ia tidak dibantah selepas kertas itu dipamerkan selama satu jam, maka tiada sebarang pencalonan ditolak untuk bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac ini," katanya pada majlis penamaan calon Parlimen Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di sini hari ini.

Khaled ketika ditemui berkata, calon-calon BN mempunyai kelebihan kerana menggabungkan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India berbanding parti pembangkang yang hanya diwakili satu kaum.

"Calon BN benar-benar menunjukkan komposisi kaum yang mewakili masyarakat, tetapi parti pembangkang langsung tidak mengambil kira perkara itu sedangkan elemen itu amat penting untuk negara maju dan membangun," katanya.

Beliau berkata, para pemimpin BN menunjukkan rekod yang baik berkhidmat di kawasan Pasir Gudang dan disebabkan itu tiada masalah untuk mereka menang.

"Parti pembangkang dikatakan akan menggunakan isu kenaikan harga barang dan minyak, tetapi itu sesuatu yang difahami oleh rakyat bahawa ia adalah fenomena global yang turut dihadapi oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Md. Rizan yang berasal dari Bota, Perak dan lebih 30 tahun menetap di Johor Bahru berkata, peluang untuk memenangi kerusi tersebut tetap ada walaupun kawasan itu adalah kubu kuat BN.

"Insya-Allah kami boleh menang walaupun saya tidak cakap peluang kami sebanyak 100 peratus," katanya yang pertama kali bertanding pada pilihan raya.

Terdahulu lebih 1,000 penyokong BN dan hampir 300 penyokong parti pembangkang berarak membawa calon masing-masing ke pusat penamaan calon.

No comments: