PRM: Pelaksanaan GST untuk mengekalkan dasar bazir dan gemukkan kroni BN
Kerajaan Pusat BN mengumumkan akan melaksanakan sistem cukai GST sebanyak 4% mulai bulan September 2011 dengan tujuannya menambah tabung pendapatan negara. Sekali lagi ini membuktikan dasar “ rakyat didahulukan” adalah gimik politik bagi meraih balik sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap BN yang telah lesap, mempakej semula elit BN-UMNO supaya mereka dapat terus memerintah dan berputar kepada perbuatan memeras wang titik peluh rakyat untuk mengekalkan dasar pemerintahan yang sekian lama ini memboros dan membazir dengan sewenang-wenang, serta mengemukkan dan membuncitkan diri sendiri.
PRM hendak bertanya, bagi sepuluh tahun yang berlalu, kenapa bajet kerajaan BN mengalami defisit? Jawapannya diketahui umum, kerajaan BN adalah “kerajaan cari makan”, dasarnya hanya menjaga kocek kroni dan saudara-mara di kelilingnya, membolehkan segelintir individu ini mengaut kekayaan dan cepat kaya menerusi cara tidak bermoral dan tidak mengikut peraturan.
Tak usahlah disebut rasuah dan salahguna kuasa berleluasa yang melibatkan beratus-ratus juta ringgit, tahun demi tahun laporan auditor negara mendedahkan kecurangan-kecurangan, pembaziran dan penyalahgunaan yang melampau dilakukan, ini sudah cukup jelas menunjukkan di mana terletaknya masalah pendapatan negara tidak cukup untuk menampung perbelanjaan,. Walaupun setiap tahun pendedahan dibuat auditor negara, masalah yang sama tetap berulang, tiada sesiapa dikenakan tindakan, mereka percaya sampai masanya pengundi akan memberikan sokongan kepada BN.
PRM berpendapat, sistem cukai GST yang akan dilaksanakan apabila sumber-sumber alam kekayaan negara telah makin hari makin kurang, elit pemerintah BN tiada pilihan lain jika mereka ingin menyambung dasar yang boros dan bazir serta menggemukkan kocek diri sendiri, mereka hanya boleh berputar kepada pemerasan rakyat jelata untuk mengaut dan mendapatkan wang ringgit untuk membiayai tabiat membazir dan memboros semasa sumber-sumber alam di negara melimpah.
Sebelum cukai GST dilaksanakan, antara 27 juta penduduk di negara ini, tidak samapi 3 juta penduduk dikenakan membayar cukai pendapatan, kerana pendapatan yang lain rendah atau kanak-kanak atau pesara, tidak sampai jumlah yang boleh dikenakan cukai. Jika cukai GST berkuatkuasa, kesemua 27 juta pendudduk di negara ini dikenakan cukai, tidak ada sesiapa dikecualikan, bahkan termasuk bayi yang baru dilahirkan.
Ini bukan sahaja akan membebankan rakyat golongan bawahan, yang selama ini tidak perlu membayar cukai kerana pendapatannya rendah. Pada masa yang sama, kerajaan BN akan menurun kadar cukai pendapatan individu dan syarikat, ini akan melebarkan jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Sekiranya jurang ini terus melebar, akan timbullah ketidak-stabilan dalam masyarakat. Sistem cukai ini akan mengakibatkan yang miskin menjadi lebih miskin, dan juga melenyapkan pekedai-pekedai kecil yang sedang ditolak ke pinggir kelenyapan oleh pasaraya raksasa yang berasal dari negara asing. Kedai-kedai kecil ini akan tutup kedai kerana tidak berupaya bersaing dengan pasaraya yang mendapatkan barangan mereka langsung daripada pengeluar. Bilangan penganggur di negara ini akan bertambah. Inflasi dan kesusahan yang mengikutinya pasti berlaku.
PRM berpendapat, dalam keadaan begini, pelaksanaan sistem cukai ini harus ditentang. PRM meramal bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan selewat-lewatnya sebelum September 2011. Di samping GST, dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan ditamatkan di darjah 1 pada 2011. Rakyat harus mengguna undi dalam tangan mereka untuk menolak BN dan dengan penolakan BN menolak sistem cukai GST.
Yang benar,
Koh Swe Yong
Setiausaha Agung
012-2766551
No comments:
Post a Comment