Thursday, August 10, 2017

PRM membantah perlanjutan tempoh Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara



2017-08-08

Kepada Pengarang yang dihormati,

Parti Rakyat Malaysia (PRM)  dengan kerasnya membantah perlanjutan tempoh Tan Sri Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuatkuasa mulai 4 Ogos 2017. Tempoh perkhidmatan Tan Sri Md Raus tamat setelah beliau capai umur persaraan 66 tahun, serta lanjutan 6 bulan yang diberikan pada 3 Ogos 2017.

PRM bertekad bahawa tarikh akhir tempoh perkhidmatan hakim iaitu tarikh persaraan mesti pasti dan  mandatori.

Pasti  dan mandatori bererti hakim setelah dilantik sebagai hakim tidak boleh dibuang kerja sehingga umur persaraan,  yang pada masa ini adalah 66 tahun. Ini bermakna juga  tempoh perkhidmatan hakim tidak boleh dilanjutkan melampaui umur persaraan  oleh mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara.

Pendirian PRM adalah bahawa untuk Malaysia  mencapai status negara dan masyarakat maju serta dihormati komuniti antarabangsa, amalan Malaysia harus sejajar dengan amalan  yang diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, contohnya dalam isu kehakiman ialah Prinsip Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai perlakuan hakim dan badan kehakiman.  

Dalam United Nations Basic Principles on the Independence of the Judiciary, yang dengan jelas menyatakan perlu tarikh akhir tempoh perkhidmatan yang pasti  , ‘Judges, whether appointed or elected, shall have guaranteed tenure until a mandatory retirement age or the expiry of their term of office, where such exists.’(Hakim, sama ada dilantik atau dipilih, harus mempunyai tarikh perkhidmatan yang terjamin sehingga tarikh persaraan mandatori atau kehabisan tempoh perkhidmatan, di mana ia wujud)

Tindakan PM Najib dan juga tindakan bekas Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria sehari sebelum Ketua Hakim bersara.  Ada kemungkinan kebebasan hakim dicabul.

 Untuk memastikan kebebasan kehakiman, satu perkara yang perlu adalah ketetapan tempoh perkhidmatan.

Jika tidak, hakim mungkin membuat keputusan yang disukai mereka yang ada kuasa melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim. Justeru kebebasan kehakiman di Malaysia diragui.

Rakyat Malaysia berhak mempunyai hakim yang bebas membuat keputusan Mahkamah berasaskan keadilan,  tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri Najib dan UMNO-BN. 

Tindakan PM Najib dan UMNO-BN ini bukan sahaja menonjol amalan dan teladan yang   tidak sihat,  bahkan akan terus menjejaskan kebajikan rakyat dan ekonomi negara.

Tindakan PM Najib dan UMNO-BN ini,  juga seolah-olah mahu memastikan badan kehakiman Malaysia akan berpihak kepada UMNO-BN khususnya apabila PRU14 akan diadakan bila-bila masa. 

Persepsi umum adalah sistem pentadbiran keadilan di Malaysia bertambah keraguannya susulan perlanjutan tempoh Tan Sri Md Raus ini. 

PRM menuntut agar Tan Sri Md Raus segera letak jawatan selaku Ketua Hakim Negara dan juga hakim Mahkamah Persekutuan,  di mana tindakan ini amat penting untuk Malaysia - untuk mengembalikan kebebasan kehakiman di Malaysia. 

PRM juga menuntut PM Najib dan UMNO-BN jangan melakukan perkara yang akan menjejaskan Malaysia dan menyebabkan penderitaan rakyat berterusan atau bertambah teruk. 

Yang benar, 

(Koh Swe Yong)
Setiausaha Agung PRM
012-2766551

No. 7D Jalan PJS 1/48 Petaling Utama, 46000 Petaling Jaya Selangor

No comments: