Thursday, July 21, 2016

MANSUHKAN AKTA TAHAN TANPA BICARA, AKTA PENCEGAHAN JENAYAH 1959 (POCA) - Kes Sanjeevan Harus Dibawah Disiasat Di Bawah Perundangan Jenayah Biasa -

 21/7/2016

PRM : MANSUHKAN AKTA TAHAN TANPA BICARA,  AKTA PENCEGAHAN JENAYAH 1959 (POCA)
-          Kes Sanjeevan Harus Dibawah Disiasat Di Bawah Perundangan Jenayah Biasa - 

Parti Rakyat Malaysia (PRM) menuntut agar semua perundangan yang membenarkan penahananan tanpa bicara seperti  Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dimansuhkan.

Penggunaan POCA dalam kes tahan Pengerusi NGO anti-jenayah (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan ini sangat dikesali.

POCA membenarkan seseorang disyaki direman secara mandatori selama 21 hari – di mana Majistret tidak lagi ada kuasa menilai alasan dan menentukan secara wajar berapa hari reman yang wajar diberikan. Selepas ini, jika permohonan reman Sanjeevan diminta dilanjutkan di bawah POCA, terpaksa Majistret memberikan reman untuk tempuh 38 hari.

Bila POCA digunakan, orang yang disyaki tidak perlu lagi dibawa ke Mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan, Beliau boleh seterusnya dikenakan perintah tahanan, perintah pengawasan polis (atau perintah halangan/restriction) yang boleh berlarutan untuk jangka masa tidak tertentu bergantung kepada budibicara pihak Lembaga Pencegahan Jenayah.

Bagi perintah penahanan, Lembaga tersebut ada kuasa mengarahkan seseorang itu ditahan tanpa bicara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun, di mana tempoh ini boleh dilanjutkan berkali-kali, tetapi setiap masa lanjutan untuk tempoh tidak melebihi dua tahun.

Pada Hari Malaysia 2011, Dato Sri Mohd. Najib Tun Razak 2011 telah mengumumkan pemansuhan Akta ISA 1960  dan juga penamatan tiga proklamasi darurat, di mana ini telah kemudiannya  dilaksanakan.

Kerajaan BN menyatakan bahawa pemansuhan akta membenarkan tahanan tanpa bicara ini adalah untuk ‘…membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dinamik…’ dan ‘..adalah satu pembaharuan bagi menjamin keselamatan rakyat dan hak bersuara rakyat…’.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom (yang pada masa itu adalah   Menteri di Jabatan Perdana Menteri) juga  menyatakan bahawa ‘…rakyat kini mendapat hak sepenuhnya untuk di bicara..’  [Portal Pusat Maklumat Rakyat (Portal PMR) 1KLIK. - http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/445-kolumnis/11030-pemansuhan-isa.html]

Jelas pernyataan atau jaminan kerajaan Barisan Nasional(BN) ini adalah palsu, dan PRM berpendirian bahawa  hak suara rakyat Malaysia kini adalah lebih dihalang dengan penggunaan, antara lain, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Perhimpunan Aman 2011. Hak rakyat bersuara termasuk juga melalui media sosial semakin lama semakin dinafikan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Jaminan kerajaan Barisan Nasional yang diberikan bahawa ‘rakyat kini mendapat hak sepenuhnya untuk di bicara..’ juga nyata dinafikan dengan, antara lain, pemindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan penggubalan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), yang kini memberikan kerajaan kuasa menahan seseorang tanpa bicara, dan juga kuasa mengenakan perintah halangan tanpa bicara untuk jangkamasa tidak terhad, di mana mangsa perintah tanpa bicara sedemikian juga dinafikan hak pergi ke Mahkamah mencabar alasan yang digunakan untuk pengeluaran perintah tanpa bicara sedemikian.

Kes Sanjeevan adalah kes yang mendapatkan liputan media massa, dan PRM kini mahu kerajaan Malaysia segera mendedahkan berapa ramai lagi warga Malaysia yang kini ditahan tanpa diberikan hak dibicarakan di Mahkamah terbuka di bawah POCA dan undang-undang lain yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Harus diingati bahawa Sanjeevan telah ditangkap kerana disyaki melakukan jenayah biasa, di mana ini adalah alasan mengapa PRM percaya bahawa POCA ini kemungkinan telah secara salah digunakan terhadap ramai orang yang disyaki melakukan jenayah, termasuk yang berkemungkinan besar  tidak bersalah. Jika seseorang bersalah melakukan jenayah, pihak polis dan pendakwaan harus membuat pertuduhan di Mahkamah, membuktikan kesalahan tersebut dan biarkan Mahkamah yang memutuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak.

PRM khuathir bahawa kes Sanjeevan ini mungkin juga titik permulaan Akta POCA ini digunakan terhadap aktivis hak asasi, kesatuan sekerja, NGO, pejuang hak komuniti dan warga biasa.  

PRM dengan ini menuntut agar semua yang kini ditahan tanpa bicara di bawa Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) atau Akta sedemikian segera dibebaskan tanpa syarat;

PRM juga menuntut bahawa  Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan semua Akta yang membenarkan tahanan tanpa bicara dimansuhkan.

Koh Swe Yong
Setiausaha Agung
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
Tel: + 6 012-2766551

3 comments: