Saturday, December 5, 2015

PRM MEMBANTAH CARA RANG UNDANG-UNDANG MKN DIBENTANGKAN DAN CUBA NAFIKAN SIASATAN KEMATIAN(INQUES)

Kenyataan Media – 5/12/2015

PRM MEMBANTAH CARA RANG UNDANG-UNDANG MKN DIBENTANGKAN DAN  CUBA NAFIKAN SIASATAN KEMATIAN(INQUES)


PARTI RAKYAT MALAYSIA(PRM)  PRM  membantah Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara(MKN) 2015, dan menuntut MKN ditarik balik, dan dibentangkan semula, jika perlu,  di Dewan Rakyat pada sesi akan datang setelah pindaan perlu dilakukan demi memastikan keadilan dan hak asasi.

PRM membantah cara  Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015(MKN)[National Security Council Bill 2015] dibentangkan bagi kali pertama di Dewan Rakyat  lewat pagi Selasa 1/12/2015, jam  lebih kurang 11.30 pagi, dan seterusnya  diluluskan dengan begitu cepat pada hari akhir persidangan  sesi Parlimen, iaitu  3/12/2015.

Malaysia  negara mengamal demokrasi, dan mereka yang duduk di Parlimen adalah Wakil Rakyat– yang perlu sangat berbincang  dan dapatkan balasan rakyat.

Dalam kes ini, rakyat tidak ada pun notis awal mengenai Rang Undang-Undang ini. Ini bererti rakyat telah dinafikan peluang membaca, membincang, membuat keputusan dan seterusnya memberikan arahan perlu kepada wakil mereka di Parlimen.
19 Oktober 2015 merupakan tarikh mula persidangan Dewan Rakyat sesi ini (19/10/2015 – 3/12/2015), dan pihak kerajaan Barisan Nasional nyata ada banyak masa mulai tarikh mula sesi ini untuk membentangkan Rang Undang-Undang ini buat kali pertama, ataupun sekurang-kurangnya mengedarkan salinan Rang Undang-Undang ini kepada Ahli Parlimen dan memuatnaikkan Rang Undang-Undang ini dalam Laman Web Parlimen. Jika ini dibuat, rakyat Malaysia ada masa untuk menimbangkan Rang Undang-Undang ini dan menyalurkan soalan dan pendapat mereka.

PRM membantah dengan kerasnya cara yang langsung tidak menghormati nilai dan semangat demokratik yang telah digunakan kerajaan Barisan Nasional dalam membentangkan Rang Undang-Undang ini dalam Dewan Rakyat. Cara yang digunakan kerajaan  pimpinan Najib Tun Razak adalah memalukan  dan langsung tidak boleh diterima oleh rakyat  negara demokratik. Ini bukan kali pertama hal ini berlaku, kerana perkara  sama telah juga berlaku pada Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014.

TIADA SIASATAN KEMATIAN ATAU INKUES

PRM juga membantah dengan keras peruntukan dalam Rang Undang-Undang yang boleh menyebabkan ketidakadaan siasatan kematian atau inkues ke atas mayat mana-mana anggota Pasukan Keselamatan atau mereka yang terbunuh di dalam kawasan keselamatan akibat operasi yang dijalankan oleh Pasukan Keselamatan.

Siasatan kematian atau inkues harus diadakan untuk semua kematian yang berlaku, khususnya bila ada penglibatan polis atau mana-mana pasukan keselamatan adalah sangat perlu di Malaysia. Perhatian harus diberikan kepada keputusan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa Malaysia (EAIC) pada lebih kurang 30/10/2015 ini, yang mengesahkan kematian seorang tahanan, Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nur pada 3 November 2013 mempunyai kaitan dengan kekerasan dan/atau salah laku pihak polis. Justeru, perlu sangat siasatan kematian atau  inkues bila pihak berkuasa terlibat.

Koh Swe Yong
SetiausahaAgung,
Parti Rakyat Malaysia
( Tel: 012-2766551)

No comments: