Sunday, August 9, 2015

PRM hendak tahu status penyiasatan kes rasuah Perdana Menteri

08-08-15

Kenyataan Media

PRM hendak tahu status penyiasatan kes rasuah Perdana Menteri

Parti Rakyat Malaysia(PRM) hendak segera mengetahui  status penyiasatan kes rasuah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.  

Dakwaan kini adalah sejumlah besar wang, dikatakan lebih kurang RM2.6 billion telah ditemui dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri.

Setakat ini, penemuan tersebut belum dinafikan. Itu sahaja memadai untuk memulakan penyiasatan kesalahan rasuah.
Isu sama ada wang tersebut datang dari 1MDB atau Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government-Linked- Company (GLC) lain adalah perkara lain.

Kalau melihat undang-undang mengenai rasuah, apa yang pendakwaan perlu tunjukkan adalah hakikat wang atau derma telah diterima oleh penjawat awam. Dalam pada itu,  wang tersebut bukan daripada gaji, elaun atau pendapatan biasa yang lain.

Lepas itu, yang perlu membuktikan bahawa penerimaan wang bukan tujuan rasuah adalah penerima wang tersebut – di mana, memandangkan dalam kes ini orang yang disyaki adalah Perdana Menteri.

Oleh itu, perlu keputusan dibuat oleh Mahkamah berkecuali sama ada beliau bersalah atau tidak. Keputusan bersalah atau tidak, tidak boleh dibuat oleh polis, MACC atau pihak lain yang di bawah kuasa atau pengaruh kerajaan semasa, yang boleh dianggap tidak berkecuali dan rakyat akan sukar mendapatkan kepastian dan diyakinkan bahawa PM  tidak terlibat dalam rasuah.

Maka, apa yang patut dilakukan sekarang adalah tangkap dan tuduh Najib di Mahkamah. Ini bukan bererti dia bersalah, kerana undang-undang menganggap seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Proses dan keputusan Mahkamah akan lebih meyakinkan rakyat samada Najib bersalah atau tidak.

Kini, ada pihak yang berusaha  menimbulkan isu-isu lain untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada persoalan asas, iaitu sama ada Najib Tun Razak bersalah melakukan jenayah rasuah.


Koh Swe Yong
Setiausaha Agung PRM
012-2766551

No. 7D Jalan PJS 1/48 Petalaing Utama, Petaling Jaya Selangor

No comments: