Tolak UMNO- BN
Tolak dasar poket UMNO-BN didahulukan, kroni UMNO diutamakan
Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyeru kepada rakyat supaya menolak regim UMNO-BN, dan menolak dasar UMNO-BN, kerana di bawah dasar ekonomi baru dan politik baru ini poket UMNO-BN didahulukan dan kroni UMNO diutamakan. Inilah kelanjutan dasar dan skim cepat kaya Dr Mahathir untuk mengkayakan segelintir kerabat dan kroni mereka supaya menjadi bilionwan dan pada masa yang sama memiskinkan rakyat jelata.
Pada Parti Rakyat Malaysia, arah tuju UMNO-BN amat jelas sekarang, apa-apa jenis transformasi yang diuar-uarkan dan diketengahkan oleh regim UMNO-BN di bawah kepimpinan Najib Tun Razak adalah semata-mata untuk meraih balik kepercayaan dan sokongan rakyat yang telah hilang , seterusnya untuk memancing undi rakyat, dan dengan demikian untuk memanjangkan dasar mengaut keuntungan dan kekayaan banyak-banyak dengan mengorbankan wang pembayar cukai dan kekayaan negara.
Apa yang terpapar, projek-projek mega yang telah diumumkan baru-baru ini seperti projek 100-tingkat Warisan Merdeka yang akan dibina atas pembinasaan tapak bersejarah di tengah-tengah Kuala Lumpur dan memakan berbilion-bilion ringgit, mengingatkan kita projek-projek mega yang tidak memanfaatkan rakyat semasa Dr Mahathir memimpin kerajaan UMNO-BN. Sebaliknya pelaksanaan GST dan penarikan subsidi untuk kesihatan rakyat dan lain-lain ditangguhkan buat sementara ini.
Jika rakyat terus percaya akan kata-kata manis UMNO-BN setelah 55 tahun memerintah dan memberi undi sokongan kepada UMNO-BN, nasib rakyat dan negara kita pasti menjerumus ke arah daif miskin dan negara kita akan hilang daya persaingan dan jauh tertinggal dalam arus perubahan deras dunia.
Jika UMNO-BN diberikan kepercayaan dan kuasa , rancangan GST dan penghapusan subsidi bagi barangan keperluan dan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan perubatan untuk rakyat akan dilaksanakan kelak kerana kekayaan asli untuk dikaut oleh UMNO-BN makin hari makin habis.
Pada masa itu, bukan sahaja harga barangan akan melambung naik, bahkan pengangguran dan masalah undang-undang dan keselamatan masyarakat pasti menjadi lebih buruk, rakyat tidak akan hidup dalam suasana berpendapatan tinggi, malahan tidak wujud lagi suasana hidup yang selamat dan selesa, kebajikan rakyat akan dihapuskan.
Oleh itu, PRM menyeru rakyat menolak UMNO-BN dalam PRK Galas dan memberikan sokongan kepada calon PAS, dan juga menolak UMNO-BN pada PRU ke-13 kelak untuk mencetuskan “transformasi” tulen kepada negara ini.
Yang benar,
(Koh Swe Yong)
Setiausaha Agung
012-2766551
No comments:
Post a Comment