Tuesday, April 10, 2018

Ramai lagi lebih layak selain Dr Mahathir - Manikavasagam(Berita Harian)


BEKAS Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berucap sempena Majlis Perasmian Pejabat Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Pengumuman Calon-Calon yang bakal bertanding pada PRU ke-14 di Pejabat Parti Rakyat Malaysia (PRM), Kapar. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Ramai lagi lebih layak selain Dr Mahathir - Manikavasagam

KLANG: Penyertaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH) dan dilantik ke jawatan tertinggi gabungan itu dipertikaikan bekas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, S Manikavasagam.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Dr Mahathir mahu dilantik menjadi Perdana Menteri jika PH berjaya menawan Putrajaya walaupun ada ramai ahli PKR yang lebih layak.

"Dulu dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) PKR, sudah sebulat suara memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun Anwar mungkin tidak boleh memandangkan beliau ada masalah (masih dipenjarakan).

"Bagaimanapun, ramai lagi pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mohd Rafizi Ramli dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya selepas majlis perasmian pejabat Parti Rakyat Malaysia (PRM) Kapar dan Pengumuman Calon di Jalan Besar Kapar, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi PRM, Ariffin Salimon dan Setiausaha Agong PRM, Koh Swe Yong.
Pada majlis sama, Ariffin turut mengumumkan Manikavasagam sebagai calon bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Kelang dan Parlimen Kapar mewakili PRM.

Manikavasagam juga kecewa terhadap tindakan Dr Wan Azizah yang membela Dr Mahathir berbanding ahli parti sendiri.

"Dr Wan Azizah sekarang sokong Dr Mahathir. Saya nak tanya, hari ini awak (Dr Wan Azizah) gantung saya selama dua tahun dan Dr Mahathir sudah penjarakan suami awak selama enam tahun. Bagaimana awak boleh memaafkan dia dan kenapa tidak boleh memaafkan saya," katanya.

Manikavasagam berkata, banyak perkara berlaku ketika pentadbiran Dr Mahathir dan mempersoalkan mengapa perlu Pengerusi PH itu perlu diangkat sebagai perdana menteri sekali lagi.

"Saya juga tidak rasa masyarakat India akan menyokong beliau. Saya menyokong MIC untuk mencabar beliau," katanya.

Sementara itu, Manikavasagam yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar, mengumumkan menyertai PRM semula selepas kecewa dengan konflik dalam PKR, selain mendakwa beberapa individu dalam kepimpinan parti berkenaan cuba menjatuhkannya.

"Saya digantung PKR Ogos tahun lalu kerana satu ucapan di Kuil Sri Balathandayuthapani, Kapar pada 8 April tahun sama.

"Sehingga kini penggantungan dan status saya menjadi tanda tanya walaupun sudah membuat penjelasan serta rayuan dalam tempoh 14 hari selepas digantung.

"Sebab itu, saya menyertai semula PRM iaitu parti asal saya pada tahun 1999 sebelum bergabung dengan PKR ketika itu," katanya. - Berita Harian, 7/4/2018

No comments: