Saturday, November 7, 2015

TPPA harus segera disediakan dalam Bahasa rakyat Malaysia supaya rakyat tak fasih English tidak diprejudiskan



Kenyataan Media – 7/11/2015

TPPA harus segera disediakan dalam Bahasa rakyat Malaysia supaya rakyat tak fasih English tidak diprejudiskan 

Parti Rakyat Malaysia(PRM) mahukan kerajaan Malaysia menyediakan teks Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)/ Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik diterjemahkan dengan segera dalam Bahasa Malaysia supaya rakyat Malaysia boleh membaca dan seterusnya memberi keputusan sama ada Malaysia harus terikat dengan Perjanjian ini atau tidak. 

Kini, di laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI)  hanya ada teks TPPA dalam Bahasa Inggeris. 

Harus difahami bahawa kini kefasihan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia adalah kurang, dan untuk benar dapat membaca dan terlibat dalam proses perbincangan mengenai TPPA, teks perjanjian ini harus juga disediakan dalam Bahasa Malaysia, dan secara tambahan harus juga disediakan dalam Bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan, Iban dan semua Bahasa lain yang rakyat Malaysia fasih seperti apa yang dibuat dalam mahkamah demi keadilan. Tanpa ini, rakyat yang majoritinya (kebanyakannya) tidak fasih dalam Bahasa Inggeris akan diprejudiskan.

Selain itu, PRM juga berharap teks TPPA akan diterbitkan dalam suratkhabar tempatan kerana nyata ramai rakyat Malaysia tidak ada akses kepada internet, atau kemahiran yang diperlukan untuk mencari teks ini dalam Laman Web MITI. 

REFERENDUM RAKYAT Malaysia untuk putuskan terima TPPA atau tolak

PRM juga berpendirian bahawa keputusan sama ada Malaysia mengambil keputusan terikat dengan perjanjian TPPA atau tolaknya harus diputuskan oleh rakyat Malaysia melalui proses wajar  dengan mengadakan REFERENDUM. Semua rakyat mungkin mereka yang kini tersenarai sebagai pengundi, boleh keluar mengundi sama ada Malaysia akan terikat dengan TPPA atau tidak. Ini adalah cara yang paling sesuai membayangkan kemahuan rakyat serta  demokratik.

Untuk membenarkan Parlimen Malaysia membuat keputusan bagi pihak  rakyat Malaysia sekarang dan akan datang, tidak akan membayangkan keputusan kehendak rakyat Malaysia. Ini adalah kerana budaya dan amalan Parlimen di Malaysia “menghalang” semua wakil rakyat parti pemerintah mengundi menentang kehendak UMNO dan Barisan Nasional, dan perkara sama juga digunapakai oleh  parti pemerintah yang lain. Justeru, debat di Parlimen pun tidak akan berkesan kerana wakil rakyat BN walaupun ada yang sudah bertukar fikiran mengenai TPPA akan terpaksa  membelakangkan pendirian  dan mengundi menurut  arahan parti politik mereka.

Tambahan lagi, kerajaan pusat UMNO-BN bukan merupakan kerajaan yang perolehi undian majoriti rakyat.  Dalam keputusan Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13), peratusan undi yang diperolehi  UMNO-BN kurang daripada 50%, walaupun bilangan wakil rakyat  yang dimenangi di parlimen lebih daripada 50%.

Oleh itu, PRM menuntut supaya TPPA segera diterjemahkan  dalam Bahasa Malaysia dan bahasa lain yang digunakan rakyat Malaysia, dan keputusan sama ada Malaysia akan terikat kepada TPPA atau tidak,  ditentukan  rakyat Malaysia melalui REFERENDUM RAKYAT.

Koh Swe Yong
Setiausaha Agung,
Parti Rakyat Malaysia
(No. Tal: 012-2766551)

No comments: