PRM Sambut Hari Pekerja Mei 1 dan lancarkan Pusat Khidmat  PRM
Parti Rakyat  Malaysia (PRM) menyambut Hari Pekerja Mei 1 serta melancarkan  “Pusat Khidmat  Rakyat PRM”  beralamat no. 7D  Jalan  PJS 1/48 Petaling Utama (off Jalan  Kelang Lama) Selangor.
Timbalan  Presiden PRM, Dr Rohana Ariffin semasa melancarkan Pusat Khidmat Rakyat  PRM  menyatakan dua matlamat menubuhkan pusat tersebut, iaitu (1) memberi  pendidikan  dan kesedaran kepada fahaman demokrasi dan hak-hak asasi untuk ahli-ahli  PRM,  rakan-rakan seperjuangan, pekerja ,wanita , belia dan penduduk di  sekitar  kawasan ini, dan (2) memberi sokongan kepada pekerja, wanita, belia, dan   penduduk di sekitar kawasan ini dalam memperjuangkan hak-hak asasi  mereka dan  membantu mereka apabila timbul isu-isu penting berkaitan dengan  pekerjaan dan  kehidupan di sini.
Dalam  ucapannya, Dr Rohana menyampaikan terima kasih kepada En Tan kerana sudi  memberikan sokongan dengan    membenarkan PRM mengguna premisnya menubuhkan pusat khidmat PRM  tanpa bayaran sewa.
“Perjuangan  PRM untuk rakyat bukanlah sesuatu yang baru sebab sejarah telah  membuktikan  bahawa PRM telah banyak membela nasib pekerja, setinggan dan rakyat  terpinggir.  Malah ramai daripada pemimpin dan ahli PRM telah dipenjarakan di bawah  ISA,”  kata Dr Rohana.
“Harapan kami agar PRM akan   berganding bahu bersama-sama dengan kesatuan, para pekerja, komrad dari  PSM,  parti-parti politik lain, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan  individu-individu untuk terus membela nasib rakyat jelata, memperbaiki  kualiti  hidup penduduk di Malaysia tidak mengira bangsa dan agama.”  
Pada upacara tersebut, Naib Presiden PRM S. K.  Song dan  Gary Nair, dan juga Setiausaha Agung PRM  Koh Swe Yong dan Presiden PSM Dr Mohd Nasir turut berucap.
Koh Swe Yong berkata pengasas-pengasas PRM  seperti Ahmad Bostamam  telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda  (KMM) sebelum Perang Dunia Kedua tetapi dipenjarakan dan KMM dibubarkan  penjajah  Inggeris, dan seterusnya menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya  (PKMM) dan  kemudian Angkatan Pemuda Insaf (API) selepas Perang Dunia Kedua, tetapi  sekali  lagi dipenjarakan dan PKMM dan API dibubarkan penjajah Inggeris.
Memandangkan tanah jajahan Inggeris ini telah  berkembang dan memasuki  peringkat sejarah baru setelah mereka keluar dari penjara, pengasas PRM  memutuskan menubuhkan sebuah parti politik berbilang kaum dan agama.  Oleh itu,  PRM akan meneruskan perjuangan bersesuaian dengan suasana dan keadaan  perkembangan mutakhir  politik dan  sosio-ekonomi negeri dan antarabangsa.
“Dengan perkembangan terbaru,   pasaran ekonomi bebas (free market economy) yang diagung-agungkan   oleh Amerika Syarikat(AS)  sebenarnya  hanya menguntungkan segelintir manusia. Menurut majalah mingguan  keluaran AS,  Business Week beberapa tahun yang lepas, 1 % (satu peratus) daripada  warga AS  yang terkaya memiliki 41% harta di AS, dan menurut berita terkini habuan  golongan 1% terkaya ini bukan sahaja tidak terjejas, bahkan meningkat  setelah  berlakunya  krisis ekonomi yang   melanda AS dan dunia.”
“Apa yang dinampak, daya pasaran bebas jika  dibiarkan bebas berkembang,  seperti yang dilaksanakan sekarang,  pasti akan  membawa huru-hara dan  ketidakstabilan kepada manusia, dan daya ini merupakan satu daya  destructive.  Oleh itu, daya pasaran ini tidak boleh dibiarkan bebas bergerak dan  mesti hendak  dikawal supaya ia memanfaatkan kebanyakan manusia, bukan hanya  menguntungkan  segelintir manusia yang terkaya.”
“Apabila AS menghadapi krisis dalam bidang  financenya, jika mengikut  doktrin daya pasaran bebas yang dijual oleh AS, nasib  institusi-institusi  kewangan AS seperti  bank-bank  harus ditentukan oleh  daya pasaran bebas, tetapi  kerajaan  AS bertindak sebaliknya dengan segera mengepam beratus-ratus bilion  dolar AS yang terdiri daripada wang  pembayar cukai AS untuk menyelamatkan   bank-bank daripada bankrap dan tutup kedai, manakala CEOnya masih  terus  menikmati imbuhan yang lumayan dan hidup mewah atas wang pembayar cukai.  Negara  lain juga ditimpa krisis kewangan AS, bukan sahaja bank Iceland menjadi  bankrap,  kerajaannya juga tumbang akibat dilanda krisis kewangan AS.”
Oleh itu, pada PRM kemudahan asas awam seperti  perubatan dan pendidikan  tidak boleh diswastakan dan ditentukan pasaran bebas, jika diswastakan,  hanya  golongan yang kaya dapat menerima perkhidmatan tersebut. Ini adalah  tanggungjawab pemerintah kepada rakyat.
Yang benar,
Koh swe Yong
Setiausaha Agung
012-2766551
 
No comments:
Post a Comment