Saturday, January 9, 2010

PRM kutuk habis-habisan perbuatan ganas membakar gereja

PRM  kutuk habis-habisan perbuatan ganas membakar gereja

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengutuk habis-habisan perbuatan yang ganas membakar gereja yang berlaku di Petaling Jaya pagi ini.
PRM berpendapat bahawa kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO seperti  “ kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di mana-mana masjid bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah hari ini.”, “peserta perhimpunan mempunyai hak berbuat demikian dan berharap perhimpunan itu berlangsung secara aman tanpa sebarang kekecohan”   yang dilaporkan hari ini amat tidak bertanggungjawap, telah memburukkan  keadaan dan memberikan isyarat yang negatif  dan serong kepada kumpulan  sehingga melakukan perbuatan ganas. Perbuatan ini telah merosakkan keharmonian dan keamanan masyarakat dan negara. UMNO harus bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ini.
PRM seperti dalam kenyataan PRM yang dikeluarkan kelmarin menyeru semua rakyat bertenang, tidak bertindak balas terhadap perbuatan ganas ini supaya  tidak termasuk perangkap pihak yang tidak bertanggungjawap ini. Mereka   berbuat demikian untuk niat jahat dan ada udang di sebalik batu.
PRM juga menyeru semua rakyat Malaysia yang rasional, mencintai negara,  keamanan dan keharmonian hidup mengadakan perundingan untuk menyelesaikan sebarang masalah dan perselisihan. Bagi PRM, kita boleh belajar daripada  peristiwa Mikraj, iaitu apa   yang tersurat dan tersirat dalam peristiwa Mikraj di mana bilangan kali bersembahyang orang Islam  sebanyak 5 kali sehari dicapai daripada 50 kali pada mulanya melalui praktik dan rundingan sebanyak 9 kali ialah sebarang penyelesaian terhadap sesatu masalah dapat dicapai melalui perundingan dan praktis dan secara bersabar dan berulang-ulang. 
Akhirnya, PRM menyeru pihak berkuasa dan bertanggungjawap terhadap keselamatan negara supaya bertindak tegas terhadap sesiapa yang melakukan pembakaran gereja dan yang merancang serta berdemotrasi sama ada di dalam atau di luar masjid.
21B(F) Jalan SJ 6 Taman Selayang Jaya 68100 Batu Caves Selangor Malaysia

PRM juga ingin menyeru pemimpin UMNO-BN menghentikan perbuatan memanipulasi isu ini semata-mata demi  kepentingan sempit politik diri sendiri dengan membelakangkan kebajikan dan keamanan rakyat dan negara  keseluruhannya.



Koh Swe Yong
Setiausaha Agung
012-2766551

No comments: