Sunday, October 25, 2009

PRM MINTA KERAJAAN MALAYSIA BEBASKAN PELARIAN POLITIK SRI LANKA

Kenyataan Media PRM

- 20 haribulan Oktober, 2009


PRM MINTA KERAJAAN MALAYSIA BEBASKAN
PELARIAN POLITIK SRI LANKA


Parti Rakyat Malaysia (PRM) minta Kerajaan Malaysia supaya segera membebaskan kesemua 108 pelarian politik Sri Lanka yang kini sedang ditahan di Kem Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Mereka terdiri daripada 88 lelaki, 10 perempuan (seorang sedang mengandung) dan 10 orang kanak-kanak. Kesemua pelarian politik Sri Lanka tersebut mendakwa mereka adalah pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Hak-Hak Asasi Pelarian Politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Mereka telah ditangkap pada kira-kira pukul 12 malam di Johor Bahru pada 8 haribulan September 2009 dan hingga kini ditahan di Kem Tahanan Imigresen Pekan Nenas.

PRM dimaklumkan bahawa keadaan orang-orang pelarian Sri Lanka itu sangat membimbangkan. Seorang daripada mereka, seorang pelarian perempuan bernama Jayamalar telah melancarkan mogok lapar di dalam Kem Tahanan sejak 6 hari yang lalu. Keadaannya begitu kritikal sehingga terpaksa dihantar ke hospital pada 18 haribulan Oktober 2009. Beliau kini masih meneruskan mogok lapar. Mulai semalam 19 haribulan Oktober 5 orang pelarian lelaki Sri Lanka itu turut menyertai mogok lapar tersebut kerana membantah penahanan mereka.

Pelarian-pelarian politik Sri Lanka membantah penahanan mereka oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mendakwa mereka adalah pelaraian politik yang sah yang diiktiraf oleh UNHCR. Mereka tidak sepatutnya ditahan di Kem Tahanan Imigresen di Pekan Nenas. Sudah lebih 40 hari mereka ditahan dan tiada sesiapa yang mengambil berat tentang nasib mereka.

PRM menyeru kerajaan Malaysia atas dasar peri kemanusiaan dan atas prinsip menghormati undang-undang antarabangsa tentang hak-hak pelarian politik supaya membebaskan dengan seberapa segera kesemua pelarian politik Sri Lanka itu dari Kem Tahanan Imigresen Pekan Nenas dan membenarkan mereka mendapat perlindungan di Malaysia yang aman ini.


Hassan Karim
Presiden PRM

Alamat: Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839 H/P: 012-7931148 Email: hakarim2001@yahoo.com

No comments: