Sunday, October 25, 2009

PRM MINTA KERAJAAN MALAYSIA BEBASKAN PELARIAN POLITIK SRI LANKA

Kenyataan Media PRM

- 20 haribulan Oktober, 2009


PRM MINTA KERAJAAN MALAYSIA BEBASKAN
PELARIAN POLITIK SRI LANKA


Parti Rakyat Malaysia (PRM) minta Kerajaan Malaysia supaya segera membebaskan kesemua 108 pelarian politik Sri Lanka yang kini sedang ditahan di Kem Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor.

Mereka terdiri daripada 88 lelaki, 10 perempuan (seorang sedang mengandung) dan 10 orang kanak-kanak. Kesemua pelarian politik Sri Lanka tersebut mendakwa mereka adalah pemegang kad UNHCR (Suruhanjaya Hak-Hak Asasi Pelarian Politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Mereka telah ditangkap pada kira-kira pukul 12 malam di Johor Bahru pada 8 haribulan September 2009 dan hingga kini ditahan di Kem Tahanan Imigresen Pekan Nenas.

PRM dimaklumkan bahawa keadaan orang-orang pelarian Sri Lanka itu sangat membimbangkan. Seorang daripada mereka, seorang pelarian perempuan bernama Jayamalar telah melancarkan mogok lapar di dalam Kem Tahanan sejak 6 hari yang lalu. Keadaannya begitu kritikal sehingga terpaksa dihantar ke hospital pada 18 haribulan Oktober 2009. Beliau kini masih meneruskan mogok lapar. Mulai semalam 19 haribulan Oktober 5 orang pelarian lelaki Sri Lanka itu turut menyertai mogok lapar tersebut kerana membantah penahanan mereka.

Pelarian-pelarian politik Sri Lanka membantah penahanan mereka oleh pihak berkuasa Malaysia kerana mendakwa mereka adalah pelaraian politik yang sah yang diiktiraf oleh UNHCR. Mereka tidak sepatutnya ditahan di Kem Tahanan Imigresen di Pekan Nenas. Sudah lebih 40 hari mereka ditahan dan tiada sesiapa yang mengambil berat tentang nasib mereka.

PRM menyeru kerajaan Malaysia atas dasar peri kemanusiaan dan atas prinsip menghormati undang-undang antarabangsa tentang hak-hak pelarian politik supaya membebaskan dengan seberapa segera kesemua pelarian politik Sri Lanka itu dari Kem Tahanan Imigresen Pekan Nenas dan membenarkan mereka mendapat perlindungan di Malaysia yang aman ini.


Hassan Karim
Presiden PRM

Alamat: Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839 H/P: 012-7931148 Email: hakarim2001@yahoo.com

Tuesday, October 6, 2009

PRM: Undilah calon PR—PAS percepat perubahan social politik di Malaysia

Kenyataan Media - 6/10/2009

Undilah calon PR—PAS percepat perubahan social politik di Malaysia


Mesyuarat Jawatankuasa Pusat baru-baru ini memutuskan untuk menyeru pengundi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan, mengundi calon PR—PAS Zulkefly Mohamad Omar, menolak calon BN—UMNO.


BN—UMNO dibawah kepimpinan Najib-Muhyuddin mencalonkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Isa, seorang pemimpin yang telah dibuktikan dan dijatuhkan tindakan oleh UMNO sendiri kerana terlibat politik wang untuk mendapatkan jawatan dalam pemilihan kepimpinan UMNO, menunjukkan laungan kepimpinan Najib—Muhyudddin untuk melaksanakan pembaharuan dalam BN—UMNO, serta slogan mendahulukan kepentingan rakyat , jika tidak rakyat akan merubah BN—UMNO, dengan sendirinya mendedah pekung bahawa kesemua kata-kata manis ini tak lain daripada tirai asap dan gimik politik untuk terus menipu rakyat.


Kepimpinan BN—UMNO ini hanya mewarisi dan meneruskan dasar selama 50 tahun memerintah, merampas harta dan sumber rakyat dan negara demi kepentingan diri sendiri.


Menurut laporan media, pada awal tahun 80an semasa Mohamad Isa menjawat Menteri Besar Negeri Sembilan, telah dirangka satu projek untuk memindahkan penternak babi di negeri itu ke satu tapak pembelaan moden dan terkawal dari segi kesihatan dan persekitaran.


Untuk tujuan tersebut, tanah seluas 1520 ekar telah diambilalih, dan tanah berharga RM8500 seekar akan dijual terus kepada pengusaha penternakan berdasarkan konsep bayaran pampasan.


Projek ini untuk menjaga kebajikan dan kepentingan penternak, alam sekitar, pengguna dan penduduk. Tetapi kesudahannya tidak berjalan seperti yang dirancang.


Oleh sebab ketamakan rejim pemerintah yang tidak ada batas, dan dipandang mereka sebagai peluang membuat duit, maka timbullah niat serong dalam hati mereka. Rancangan yang dirangka untuk kebajikan rakyat dan masyarakat ini dirubah dan dijadikan projek cepat kaya.


Tanah tersebut telah dijual kepada sebuah syarikat Melayu yang dikaitkan dengan UMNO Negeri.


Syarikat ini tidak menjual tanah terus kepada pengusaha, tetapi kepada syarikat yang dimiliki orang Cina yang dikaitkan MCA. Ia dikaitkan dengan Senator Dr Yau Chai Thian, pengerusi MCA Negeri Sembilan.


Dalam proses ini, tanah yang berharga RM 8500 seekar jika dijual terus kepada pengusaha, sekarang dijual oleh syarikat yang dikaitkan dengan MCA dengan harga RM 145000 seekar, iaitu melambung naik sebanyak 17 kali ganda. Pengusaha enggan membelinya.


Akhirnya, rancangan untuk memodenkan kaedah memelihara babi terhalang. Apakah yang berlaku kemudian ialah tercetusnya virus Nipah yang bukan sahaja meragut nyawa penternak dan hangusnya harta benda, bahkan mengancam nyawa dan merugikan rakyat keseluruhannya.


Apa yang dicatat di atas adalah salah satu daripada beribu-ribu contoh penyalahgunaan kuasa BN—UMNO demi kepentingan diri dan kroni-kroni dan sakat-sukut mereka.


Oleh itu, Parti Rakyat Malaysia sekali lagi menyeru pengundi DUN Bagan Pinang menolak calon BN—UMNO yang terbukti terlibat dalam politik wang, menyokong calon PAS, memberi peluang kepada perubahan supaya udara Malaysia segar semula, barulah kebajikan rakyat jelata terjamin.


Hassan Abdul Karim,
Presiden (012-7931148)


Koh Swe Yong,
Setiausaha Agung (012-2766551)