PRM berasa amat sedih dengan keputusan Sultan Perak mendesak Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin dan seluruh exco Kerajaan Pakatan Rakyat meletak jawatan bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan baru di Perak.
PRM mempersoalkan kebijaksanaan Sultan Perak dalam membuat keputusan tersebut. Tanpa mempertikaikan kuasa budibicara Sultan di dalam Perlembagaan Negeri Perak untuk enggan memberi perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, tetapi di dalam Perlembagaan itu sendiri tidak memperuntukkan kuasa Sultan untuk memecat Menteri Besar.
Sultan Perak lebih arif dalam soal undang-undang, lebih-lebih lagi mengenai Perlembagaan Negeri Perak itu sendiri. Di bawah Perlembagaan Negeri Perak Sultan boleh memecat anggota exco Majlis Kerajaan Negeri tetapi tidak ke atas Menteri Besar. Menteri Besar hanya boleh dilucutkan jawatannya dengan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.
Sultan Perak banyak bertitah soal pemerintahan yang baik dan peranan Raja-Raja dalam sistem demokrasi berparlimen serta raja berpelembagaan.
PRM percaya inilah masanya Sultan Perak mempraktikan apa yang dititahnya di Negeri di bawah kuasanya sendiri.
PRM percaya Sultan Perak tentu bersetuju dengan prinsip demokrasi iaitu sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk rakyat tidak harus dijatuhkan akibat perbuatan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti.
Rakyat Perak memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Perak pada pilihanraya umum 8 Mac 2008 lalu. Tetapi malang sekali pada 6 Februari 2009 BN yang kurang mandat dibenarkan kembali berkuasa di Perak dengan perkenan Raja dan membelakangkan kehendak rakyat jelata.
Yang benar,
HASSAN KARIM
Presiden PRM
6hb. Februari 2009
KENYATAAN MEDIA ini dikeluarkan oleh Presiden PRM yang beralamat di Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat, 82000 Pontian, Johor. Tel: 07-6881839 (012-7931148) Faks: 07-6882369 Email: hakarim 2001@yahoo.com
1 comment:
good mr hassan karim,hidup PRM to be strong n well from cucu Ahmad Boestamam...tg malim
Post a Comment