Tuesday, May 13, 2008

PRM:- DESAK KERAJAAN SUPAYA SEGERA RAWAT P. UTHAYAKUMAR DI IJN

KENYATAAN MEDIA

PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM): DESAK KERAJAAN SUPAYA SEGERA RAWAT

P. UTHAYAKUMAR DI IJN

Parti Rakyat Malaysia (PRM) memandang berat keadaan kesihatan P. Uthayakumar, Penasihat Undang-Undang Hindraf yang kini ditahan di Kem Kamunting Perak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

PRM dimaklumkan bahawa P. Uthayakumar kini mengalami masalah sakit jantung. PRM mendesak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya segera membawa Uthayakumar ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur agar beliau mendapat rawatan yang baik.

Tindakan peri kemanusiaan dari Perdana Menteri amat perlu saat ini kerana rayuan kepada Menteri Dalam Negeri agar Uthayakumar segera dirawat di IJN telah tidak dipedulikan oleh menteri berkenaan.

PRM akan meletakkan Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya keadaan kesihatan P. Uthayakumar semakin teruk atau berlaku apa-apa yang tidak diingini ke atas tahanan ISA itu.

Dalam hubungan ini PRM sekali lagi menegaskan pendiriannya selama ini agar ISA dimansuhkan dan seterusnya merayu P. Uthayakumar dan lain-lain tahanan ISA dibebaskan tanpa syarat atau didakwa di Mahkamah terbuka.

Hassan bin Abdul Karim

Presiden PRM

12-5-2008

Alamat:

Bilik 6, Aras 2,
Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,
82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839
H/P: 012-7931148
Email: hakarim2001@yahoo.com

Blog: http://hassankarim.blog.com

No comments: