Wednesday, June 4, 2014

Hudud Punca Utama Kekalahan DAP di Teluk Intan (Rakyat Times)

Hudud Punca Utama Kekalahan DAP di Teluk Intan

TelukIntan

Calon DAP muda , 27 tahun, Dyana Sofya Mohd Daud kalah tipis kepada Presiden Parti Gerakan Mah Siew Keong, 53 tahun, daripada BN dalam PRK Teluk Intan yang berlangsung pada 31 Mei 2014. Dyana Sofya Mohd Daud mendapat undi 19,919, manakala Mah Siew Keong mendapat undi 20,157, majoriti 238. Calon DAP, Seah Leong Peng, menewaskan Mah Siew Keong dengan majoriti 7313 dalam PRU 13. PRK ini perlu dipelajari tenaga pembangkang khususnya komponen Pakatan Rakyat dalam pertarungan dengan UMNO-BN.

Menurut analisis DAP, ada tiga sebab calonnya kalah.

1. Peratusan pengundian rendah, 66.5%, kedua rendah selepas PRK Bukit Gelugor , 56.3%, dan pengundi Cina turun 15%, India turun 11%, tetapi Melayu naik 3%. Pada PRU 13 peratusan mengundi ialah 80.43%

2. Pengundi berasa terugut projek pembangunan tidak diberikan serta tertarik oleh pembangunan yang boleh diberikan oleh seorang menteri.

3. Dyana Sofya tiada cukup masa untuk mendampingi pengundi dalam masa 2 minggu berkempen.

Anwar Ibrahim memberikan faktor luar bandar dan MB Selangor Khalid Ibrahim berkata banyak pengundi yang tinggal di luar kawasan Teluk Intan tidak balik mengundi merupakan sebab calon DAP kalah.

Daripada keputusan PRK Teluk Intan dan sebab-sebab DAP kalah, terdapat 3 kumpulan pengundi . Kumpulan pertama pengundi luar bandar, kedua pengundi penduduk bandar, dan ketiga mereka yang berasal dari kawasan ini tetapi bekerja di tempat lain.

Antara pengundi tersebut, kumpulan luar bandar merupakan penyokong kuat UMNO-BN, dan kumpulan kedua dan ketiga banyak menyokong PR. Keadaan ini tergambar dalam keputusan dan semasa kempen di Teluk Intan.

Apa yang kami perhatikan ialah poster DAP dan Dyana Sofya kurang berbanding dengan poster BN dan Mah Siew Keong di bandar Teluk Intan. Di luar bandar Teluk Intan, poster DAP dan Dyana Sofya hampir tidak ternampak.

Keadaan demikian biasa dalam PRU dan PRK di negara kita. BN mempunyai seluruh sumber, sebaliknya pembangkang tidak ada banyak sumber.

Keadaan ini juga membayangkan kerjasama antara parti komponen PR longgar. Pada pemerhatian kami, ini mungkin anggota PAS dan PKR tidak memberikan kerjasama yang sungguh-sungguh dan sekuat macam pada masa PRU 13 kerana DAP dan calon DAP tidak menyokong pelaksanaan hukum hudud dan poster Dyana bukan semua bertudung.

Daripada keputusan PRK Teluk Intan dan perbualan dengan penduduk, boleh disimpulkan 4 perkara menentukan keputusan PRK ini, iaitu fahaman bandar dan luar bandar lain, hukum hudud, pertalian calon dan keluarganya dengan pengundi tempatan dan kesan pergeseran antara pimpinan pusat parti DAP dengan anggota tempatan dan antara parti komponen PR.

Kebanyakan pengundi luar bandar terdiri daripada pengundi Melayu dan India, selama ini merupakan penyokong UMNO-BN yang kuat. Pengundi bandar kebanyakannya Cina memihak kepada pembangkang. Kecenderungan ini sealiran dengan trend mengundi di seluruh negara.'

Peratusan pengundi Melayu menyokong DAP naik 3% menunjukkan pendirian calon DAP terhadap hukum hudud tidak membawa kesan negatif kepada pengundi Melayu.

Tetapi hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS di Kelantan nampaknya membawa impak negatif terhadap pengundi Cina dan India. Peratusan pengundi untuk DAP di Kampung Baru Cina dan kawasan Cina, Kg Bedamar, turun. Keseluruhannya pengundi Cina turun 15% dan India 11%.

Ketakutan dan kerisauan pengundi Cina diluahkan kepada kami semasa kami berbual-bual dengan mereka terhadap hokum hudud. Peluahan kebimbangan pengundi ini terhadap hukum hudud mengejutkan kerana kami tidak sangka perdebatan pelaksanaan hukum hudud begitu membimbangkan mereka.

Pertalian antara penduduk luar bandar dan bandar seperti Teluk Intan biasanya kuat. Pemikiran mereka "simple". Mereka kenal-mengenal antara satu sama lain. Mereka akan berasa berhutung budi kepada seseorang jika mereka dibantu, dan akan menyokong pihak yang pernah membantunya. Apabila hendak mereka memilih antara hal-hal yang melibatkan kepentingan umum macam rasuah, keadilan , salahguna kedudukan, ketelusan dan lain-lain dengan kenalan setempat, mereka berkencerungan mengundi orang yang pernah membantunya dan dari setempat.

Mah Siew Keong orang tempatan, dan pernah menjadi wakil rakyat Teluk Intan dan Timbalan Menteri. Keluarganya berkedudukan di Teluk Intan. Oleh itu, beliau ada advantage berbanding dengan calon DAP walaupun beliau menganggotai parti yang banyak dikritik merosakkan negara ini.

Kami mendapat tahu bahawa ada anggota DAP tempatan tidak sependapat dengan cara pucuk pimpinan pusat mengendalikan parti khususnya dalam pemilihan calon. Walaupun perbezaan itu berlaku banyak tahun dahulu, kesannya masih belum hilang. Mereka bersikap dingin, dan undi rosak sebanyak 543 undi mungkin termasuk golongan yang masih tidak berpuas hati.

Apa yang kami nampak, dalam PRK ini, faktor hukum hudud, calon tempatan, kerjasama dan semangat parti komponen PR dan anggota DAP serta penyokong amat penting, akhirnya mempengaruhi fikiran pengundi Cina dan India dan keputusan PRK Teluk Intan.

Jika kita hendak mengubah pemerintahan negara ini, kita tahu bahawa UMNO-BN akan guna apa-apa cara dan sumber untuk mempertahankan pautannya pada kuasa yang telah dimonopoli selama 60 tahun, pendekatan tenaga yang membangkang perlu ubah dan semua golongan perlu digembleng untuk bersaing dengan UMNO-BN.

Kita harus mempelajari daripada keputusan PRK Teluk Intan bahawa sama ada pengundi bandar atau luar bandar, pengundi Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, mereka boleh ubah, sokong UMNO-BN atau PR. Dalam masa satu tahun, DAP boleh menang dengan majoriti 7313 menjadi kalah dengan majoriti 238 undi.
 
- Koh Swe Yong ialah Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia.

No comments: