Friday, May 7, 2010

PRM Sambut Hari Pekerja Mei 1 dan lancarkan Pusat Khidmat PRM

PRM Sambut Hari Pekerja Mei 1 dan lancarkan Pusat Khidmat PRM

 
Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyambut Hari Pekerja Mei 1 serta melancarkan “Pusat Khidmat Rakyat PRM”  beralamat no. 7D  Jalan PJS 1/48 Petaling Utama (off Jalan Kelang Lama) Selangor.
 
Timbalan Presiden PRM, Dr Rohana Ariffin semasa melancarkan Pusat Khidmat Rakyat PRM menyatakan dua matlamat menubuhkan pusat tersebut, iaitu (1) memberi pendidikan dan kesedaran kepada fahaman demokrasi dan hak-hak asasi untuk ahli-ahli PRM, rakan-rakan seperjuangan, pekerja ,wanita , belia dan penduduk di sekitar kawasan ini, dan (2) memberi sokongan kepada pekerja, wanita, belia, dan penduduk di sekitar kawasan ini dalam memperjuangkan hak-hak asasi mereka dan membantu mereka apabila timbul isu-isu penting berkaitan dengan pekerjaan dan kehidupan di sini.

Dalam ucapannya, Dr Rohana menyampaikan terima kasih kepada En Tan kerana sudi memberikan sokongan dengan   membenarkan PRM mengguna premisnya menubuhkan pusat khidmat PRM tanpa bayaran sewa.

“Perjuangan PRM untuk rakyat bukanlah sesuatu yang baru sebab sejarah telah membuktikan bahawa PRM telah banyak membela nasib pekerja, setinggan dan rakyat terpinggir. Malah ramai daripada pemimpin dan ahli PRM telah dipenjarakan di bawah ISA,” kata Dr Rohana.
 
“Harapan kami agar PRM akan berganding bahu bersama-sama dengan kesatuan, para pekerja, komrad dari PSM, parti-parti politik lain, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan individu-individu untuk terus membela nasib rakyat jelata, memperbaiki kualiti hidup penduduk di Malaysia tidak mengira bangsa dan agama.” 
 
Pada upacara tersebut, Naib Presiden PRM S. K. Song dan  Gary Nair, dan juga Setiausaha Agung PRM Koh Swe Yong dan Presiden PSM Dr Mohd Nasir turut berucap.

Koh Swe Yong berkata pengasas-pengasas PRM seperti Ahmad Bostamam  telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum Perang Dunia Kedua tetapi dipenjarakan dan KMM dibubarkan penjajah Inggeris, dan seterusnya menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan kemudian Angkatan Pemuda Insaf (API) selepas Perang Dunia Kedua, tetapi sekali lagi dipenjarakan dan PKMM dan API dibubarkan penjajah Inggeris.

Memandangkan tanah jajahan Inggeris ini telah berkembang dan memasuki peringkat sejarah baru setelah mereka keluar dari penjara, pengasas PRM memutuskan menubuhkan sebuah parti politik berbilang kaum dan agama. Oleh itu, PRM akan meneruskan perjuangan bersesuaian dengan suasana dan keadaan perkembangan mutakhir  politik dan sosio-ekonomi negeri dan antarabangsa.

“Dengan perkembangan terbaru,  pasaran ekonomi bebas (free market economy) yang diagung-agungkan   oleh Amerika Syarikat(AS) sebenarnya hanya menguntungkan segelintir manusia. Menurut majalah mingguan keluaran AS, Business Week beberapa tahun yang lepas, 1 % (satu peratus) daripada warga AS yang terkaya memiliki 41% harta di AS, dan menurut berita terkini habuan golongan 1% terkaya ini bukan sahaja tidak terjejas, bahkan meningkat setelah berlakunya  krisis ekonomi yang  melanda AS dan dunia.”

“Apa yang dinampak, daya pasaran bebas jika dibiarkan bebas berkembang, seperti yang dilaksanakan sekarang,  pasti akan membawa huru-hara dan ketidakstabilan kepada manusia, dan daya ini merupakan satu daya destructive. Oleh itu, daya pasaran ini tidak boleh dibiarkan bebas bergerak dan mesti hendak dikawal supaya ia memanfaatkan kebanyakan manusia, bukan hanya menguntungkan segelintir manusia yang terkaya.”

“Apabila AS menghadapi krisis dalam bidang financenya, jika mengikut doktrin daya pasaran bebas yang dijual oleh AS, nasib  institusi-institusi kewangan AS seperti bank-bank  harus ditentukan oleh daya pasaran bebas, tetapi  kerajaan AS bertindak sebaliknya dengan segera mengepam beratus-ratus bilion  dolar AS yang terdiri daripada wang pembayar cukai AS untuk menyelamatkan  bank-bank daripada bankrap dan tutup kedai, manakala CEOnya masih terus menikmati imbuhan yang lumayan dan hidup mewah atas wang pembayar cukai. Negara lain juga ditimpa krisis kewangan AS, bukan sahaja bank Iceland menjadi bankrap, kerajaannya juga tumbang akibat dilanda krisis kewangan AS.”

Oleh itu, pada PRM kemudahan asas awam seperti perubatan dan pendidikan tidak boleh diswastakan dan ditentukan pasaran bebas, jika diswastakan, hanya golongan yang kaya dapat menerima perkhidmatan tersebut. Ini adalah tanggungjawab pemerintah kepada rakyat.

Yang benar,


Koh swe Yong
Setiausaha Agung
012-2766551
3-5-10
 

No comments: