Thursday, August 20, 2009

Kenyataan Media (18/8/2009) - Halangan dan cabaran PRM

Kenyataan Media - 18/8/2009

Halangan dan cabaran PRM

Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah mengadakan majlis “Malam Kemenangan PRM” baru-baru ini di Kuala Lumpur untuk meraikan usaha yang berjaya mempertahankan pendaftarannya.

Pada 16 Julai 2009 Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur telah menolak permohonan sebilangan bekas kepemimpinan PRM untuk membubarkan PRM, dan seterusnya mematahkan niat bekas kepemimpinan PRM yang diketuai oleh bekas presiden PRM Dr Syed Husin Ali untuk membubarkan PRM melalui mahkamah . Bekas ahli PRM ini telah menyertai Keadilan.

Menurut pengerusi majlis malam selaku Setiausaha Agung PRM Koh Swe Yong, majlis malam tersebut dijangka buka 8 meja, tetapi oleh sebab sambutan baik daripada ahli-ahli PRM, majlis akhirnya membuka 15 meja. Selain ahlil-ahli PRM, terdapat tetamu jemputan daripada PAS Bahagian Gombak yang diketuai Cikgu Ishak Surin, Setiausaha Agung Pertubuhan Sekerja Gopalan, Setiausaha Agung PSM Aru, aktivis sosial Hishamuddin Rais dan lain-lain.

Pengerusi majlis menegaskan bahawa walaupun PRM sudah mengharungi masa yang susah dan sengit, mendapat pengakuan terhadap pendaftarannya sebagai sebuah parti politik berdaftar yang sah, akan tetapi dapat dijangkai PRM akan pada masa depan terus-menerus menghadapi keadaan terasing, di mana bekas pemimpin PRM mencuba mengguna apa-apa carapun untuk meminggirkan dan melenyapkan nama PRM secara politik.

Oleh itu, Koh Swe Yong menyeru kepada bekas pemimpin PRM itu supaya menerima hakikat bahawa PRM sebagai sebuah pertubuhan politik tidak pernah dibubarkan oleh ahli-ahlinya dan berhentilah segala tindak-tanduk yang sia-sia ini terhadap PRM. Penindas utama rakyat hari ini ialah parti pemerintah pusat iaitu UMNO-BN yang korup dan zalim. Demi kepentingan rakyat PRM bersedia bekerjasama untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

Pada malam kemenangan tersebut, yang berucap Presiden PRM Hassan Karim, Ketua PAS Gombak Cikgu Ishak Surin, Setiausaha Agung Pertubuhan Sekerja Gopalan, Setiausaha Agung PSM Aru, ahli Keadilan Siti Nor Hamid Tuah dan Ahmad Hamid Tuah, Naib Presiden selaku Ketua Pulau Pinang PRM Gary, dan Jalil Ahmad. Jalil Ahmad merupakan ahli PRM yang pertama menulis surat pada September 2004 kepada Setiausaha Agung ketika itu menanyakan bila akan diadakan Kongres Khas ahli PRM untuk membubarkan PRM kerana kononnya PRM telah bercantum dengan Keadilan pada 3 Ogos 2003. Selain itu, bekas tahanan ISA Yap Kok On serta anak perempuannya dari Negeri Sembilan bersama-sama mempersembahkan biola pada malam itu.

Dalam ucapannya, Presiden PRM Hassan Karim mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli PRM serta panel peguam yang membela PRM iaitu Palaniandy, G. K. Ganesan dan Wee Choo Keong yang banyak berusaha secara profesionalisme atas pembelaan hak demokratik dan hak asasi kemanusiaan.

Apabila bersentuh tentang keadaan politik semasa tanah air, Hassan Karim menegaskan lagi, walaupun wujudnya perbezaan antara PRM dengan Pakatan Rakyat(PR) khususnya Keadilan, tetapi kesemua perbezaan bukannya pertentangan yang utama, penindas utama yang dihadapi oleh golongan bukan pemerintah pusat ialah UMNO-BN. PRM menyokong perjuangan PR untuk menegakkan demokrasi dan membela kepentingan rakyat walaupun PRM tidak dalam PR.

Sejak penubuhannya pada 11 November 1955, PRM tidak pernah berhenti daripada menentang dasar-dasar Barisan Nasional (BN) dan Parti Perikatan iaitu nama BN pada 1960an. Kemenangan PRM dari segi undang-undang hanya merupakan kemenangan kecil. Secara perbandingan, kemenangan yang bermakna dan besar ialah apabila pemerintah UMNO-BN yang berkuasa selama 55 tahun itu ditumbangkan dan dilucutkan kuasa pemerintah pusat. Bagi PRM, kemenangan menumbangkan kerajaan UMNO-BN ialah kemenangan yang besar.

Hassan Karim berkata, setelah mendapatkan pengakuan terhadap pendaftaran PRM, beliau berharap bekas pemimpin PRM menghormati hak kebebasan berpersatuan dan tidak merayu. Beliau berkata, selepas ini PRM perlu melipat-gandakan usaha untuk meneruskan tradisi PRM yang sediakala memberi khidmat

Cikgu Ishak menyatakan bahawa penubuhan PRM adalah untuk menentang penjajahan Inggeris dan menuntut kemerdekaan Malaya, menentang sistem ekonomi kapitalisme dan feudalisme. Cikgu Ishak pernah bersama-sama dengan pengasas PRM seperti Boestamam, Pak Sako dan Dr. Burhanuddin Helmi mengasaskan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) selepas tamatnya Peperangan Dunia Kedua.

Setiausaha Agung Pertubuhan Sekerja Gopalan berkata pada ketika negara menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk, rejim autokratik UMNO-BN sedang mempertingkatkan cengkamannya terhadap rakyat, oleh itu rakyat harus bersatu-padu menentang rejim yang autokratik ini. Pertubuhan Sekerja ditubuhkan pada 1970an.

Manakala Setiausaha Agung PSM Aru mengucapkan tahniah kepada PRM kerana dapat mempertahankan pendaftarannya. Beliau berkata pengalaman PSM selama 10 tahun untuk mendapatkan pendaftaran menjadikan PSM cukup memahami dan menghayati makna hak kebebasan berpersatuan.

Siti Nor Hamid Tuah meluahkan buah fikirannya, beliau menyertai Keadilan dengan harapan semangat berkhidmat kepada rakyat jelata dan cita-cita perjuangan murni PRM dapat diterapkan dalam Keadilan. Walaupun bagaimanapun beliau membidas pucuk kepemimpinan Keadilan kerana mereka enggan menerima kritikan dan pandangan yang berlainan. Contohnya pada PRU 12, bekas pemimpin PRM yang menyertai Keadilan dan ada semangat berkhidmat tidak dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum, sebaliknya orang-orang yang rapat dengan pucuk pimpinan dan merupakan kawan baiknya dilantik. Kesudahannya apabila pengundi ada masalah dan pergi keepaa mereka untuk mendapatkan bantuan, mereka tidak dibantu, bahkan penolong YB ini mengambil sikap acuh tak acuh. Keadaan macam ini sungguh mengecewakan.

Jalil Ahmad menegaskan bahawa PRM adalah parti berbilang kaum. Suasana macam malam ini jarang-jarang boleh didapati di perhimpunan lain. PRM akan terus berjuang untuk rakyat negara ini.

Koh Swe Yong
Setiausaha Agung, PRM

012-2766551

21B(F) Jalan SJ 6 Taman Selayang Jaya 68100 Batu Caves Selangor Malaysia


No comments: