Monday, April 19, 2010

Pakatan Rakyat umpama perjanjian Fudhul menolak kezaliman (Harakah Daily, 4/4/2010)

Pakatan Rakyat umpama perjanjian Fudhul menolak kezaliman
Dzulfikar Mashoor   
GOMBAK, 4 April: Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkifli Ahmad (gambar)  menasihatkan seluruh ahli dan penyokong PAS supaya memperkukuhkan muafakat Pakatan Rakyat demi menolak kezaliman angkara segelintir pemimpin Umno BN.

Menurut beliau, muafakat PAS bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat itu boleh dianggap sebagai manifestasi pada penyertaan Rasulullah s.a.w dalam 'Perjanjian Fudhul' pada era Jahiliah.

"Inilah (Perjanjian Fudhul) suatu perjanjian untuk melindungi rakyat marhaen di Makkah (supaya) kezaliman ditolak bersama-sama oleh semua pihak, tidak mengira ideologi dan sebagainya."

"Sebab itu, kita membawa pendekatan ini (muafakat Pakatan Rakyat) sebagai kaedah politik PAS (yang) secucuk dengan nas ini (Perjanjian Fudhul)," jelas beliau pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat berkata, budaya menolak kezaliman di Makkah itu walaupun berlaku ketika Rasulullah s.a.w berusia 16 tahun, tetapi Rasulullah s.a.w mengiktiraf muafakat politik (tahalluf siyasi) tersebut selepas Baginda diangkat menjadi Rasul.

"Sesungguhnya aku telah menyaksikan termeterainya perjanjian di rumah pakcikku, Abdullah bin Jud'an. Seandainya aku diundang untuk memeterai perjanjian (iaitu) menentang kezaliman dan menegakkan keadilan, pasti akan aku sambut," maksud Hadith Rasulullah s.a.w, seperti diperjelaskan oleh Dr. Dzulkifly.

Ujarnya lagi, penubuhan Pakatan Rakyat telah memecahkan tembok-tembok perkauman antara rakyat yang dicipta oleh parti-parti pemerintah atas titik persamaan yang sama iaitu menolak segelintir kepemimpinan Umno BN yang zalim.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli PAS dan rakyat marhaen mendukung wawasan PAS yang diperjuangkan oleh Mursyidul Amnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap dalam Majlis Perasmian Jubli Perak dan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Batu kali ke-25, beliau turut memuji keterbukaan DAP dalam menolak kezaliman Umno BN melalui wadah Pakatan Rakyat.

"Untuk menumbangkan kezaliman (Umno BN), para pemimpin DAP umumnya bersedia mengiktiraf Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan (Hak Istimewa kaum Melayu) dan beberapa kepentingan yang lain.

"(Keterbukaan DAP) kerana mereka juga menghayati semangat serta kepentingan untuk bersama-sama (melalui Pakatan Rakyat) untuk tumbangkan Umno BN dalam masa terdekat ini (Pilihan Raya Umum ke-13)," ujarnya.

Lanjutan itu, beliau secara peribadi mengalu-alukan beberapa parti lain iaitu Parti Rakyat Se-Malaysia (PRM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) supaya menyertai muafakat Pakatan Rakyat.

"Apa juga ideologi, PRM, PSM dan apa jua parti sekali pun, Pakatan Rakyat boleh mengurus perbezaan...asalkan atas paksi yang jelas (iaitu) menolak kezaliman," ujar.

Sempena  pilihan raya kecil Hulu Selangor yang dijangka berlangsung tidak lama lagi, beliau turut menyeru PAS supaya memperkasa jenteranya agar calon Pakatan Rakyat boleh memenangi kerusi Parlimen tersebut.

Turut menyertai  Dzulkifli, Cikgu Ishak Surin (YDP PAS Kawasan Batu), Ustaz Iimran (Ketua Penerangan PAS Batu), Vincent Lee (Ketua Pengarah Himpunan Penyokong PAS), Dr. Tan Seng Giaw (Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan), Ariffin Salimon (Pemangku Presiden PRM) dan Koh Swe Yong (Setiausaha PRM). -END, Harakah Daily, 4/4/2010, Pakatan Rakyat umpama perjanjian Fudhul menolak kezaliman